Summary: | Kajian deskriptif berbentuk tinjauan ini dijalankan terhadap Penggunaan Sistem Pengurusan Kawalan Belanjawan Elektronik (eSPKB) dalam Pengurusan Kewangan di organisasi pendidikan. Kajian ini bertujuan mengenalpasti penggunaan, kepuasan dan persepsi pengguna terhadap sistem eSPKB. Kajian ini dilaksanakan secara spesifik di Jabatan Pelajaran Johor (JPNJ) serta 10 PPD di Negeri Johor. Responden kajian terdiri daripada Pegawai dan Kerani yang memiliki Kad Pintar yang disahkan oleh Pengarah JPNJ. Soal selidik yang digunakan terbahagi kepada empat bahagian. Instrumen soal selidik dibina berdasarkan objektif kajian. Hasil kajian rintis menunjukkan nilai Alpha Cronbach bagi Penggunaan (0.95), Kepuasan Pengguna (0.90) dan Persepsi Pengguna (0.84). Data yang diperolehi telah dianalisis menggunakan Statistical Package for Social Science (SPSS) for Window Version 13.0. Kajian ini dianalisis secara deskriptif dan inferensi menggunakan kekerapan, peratusan, min, Ujian t dan ANOVA. Dapatan kajian menunjukkan penggunaan eSPKB berada pada tahap Sederhana (Min=2.80) di mana dalam Objek Sebagai 21000 Tuntutan Perjalanan, mencatatkan tahap yang paling tinggi dengan Min (3.48).. Dapatan juga menunjukkan kepuasan pengguna eSPKB dalam kategori perlaksanaan tugas mencatatkan Min yang lebih tinggi (4.57) berbanding dengan kategori Kompetensi dan Imej serta Kesan Positif eSPKB. Hasil kajian menunjukkan majoriti responden berpendapat bahawa penggunaan eSPKB mempermudahkan tugas-tugas pengurusan kewangan dan mereka memerlukan kursus atau sesi pemantapan profesion dari masa ke semasa. Akhir sekali beberapa cadangan dikemukakan bagi mempertingkatkan lagi penggunaan eSPKB.
|