520 |
|
|
|a Kertas kerja ini membincangkan tentang perlunya dipertingkatkan usaha menerbitkan buku karya asli kejuruteraan lanjutan, yang begitu kecil bilangannya setakat ini dalam pasaran tempatan. Memang bukannya mudah untuk menulis buku sedemikian, tetapi usaha ini adalah antara beberapa langkah penting yang mampu menjadikan Malaysia sebuah negara yang maju menjelang tahun 2020. Setakat ini, banyak buku kejuruteraan yang diterbitkan adalah dalam bentuk asas. Memang tidak dapat dinafikan bahawa buku kejuruteraan asas memainkan peranan yang penting dalam membentuk minda pelajar supaya mereka mempunyai pemikiran secara kejuruteraan. Usaha ini bagaimanapun tidak cukup untuk menyediakan tenaga kerja baru yang mantap, lebih-lebih lagi mereka terpaksa mengulangi kebanyakan kerja harian dan mendiagnosis masalah yang pernah dilalui pekerja sebelum ini. Perkembangan sedemikian sudah pasti banyak membuang masa dan tenaga. Sehubungan itu, para penulis dan penerbit harus bersikap lebih proaktif dan profesional dalam usaha menerbitkan buku kejuruteraan lanjutan supaya pelajar bukan sahaja dapat menghayatinya ketika menuntut di institusi pengajian tinggi, malah mampu mempraktikkannya sewaktu menjalani latihan industri. Perkembangan sedemikian bukan sahaja boleh meningkatkan keyakinan para pelajar dalam menghadapi alam kejuruteraan, malah pengetahuan tentang kejuruteraan yang mantap serta prestasi yang cemerlang pasti meningkatkan kebolehpasaran graduan. Pelbagai dilema dan kekangan pasti menjadi ranjau dalam usaha murni ini. Sehubungan itu, kupasan tentang permasalahan terbabit diketengahkan dengan penyelesaiannya harus dipertimbangkan secara bersama oleh penulis dan penerbit.
|