Summary: | Kajian ini adalah berkaitan tentang penilaian kurikulum program Sarjana Muda Sains Serta Pendidikan Fizik (SPF) dan Sarjana Muda Sains Serta Pendidikan Kimia (SPC). Kajian ini melibatkan seramai 122 orang responden yang terdiri daripada pelajar tahun satu hingga tahun akhir di Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia. Kajian ini berbentuk deskriptif dan menggunakan instrument soal selidik dengan skala lima mata bagi mengukur empat kategori model KIPP iaitu Konteks, Input, Proses dan Produk. Empat aspek yang dinilai iaitu program, kandungan pelajaran, pengajaran dan pembelajaran dan kepuasan pelajar. Nilai pekali Alpha Cronbach untuk kajian ini adalah 0.96. Analisis statistik deskriptif dalam bentuk min, sisihan lazim dan peratus telah digunakan untuk menganalisi data. Kesemua data dianalisis menggunakan perisian "Statistical Package for the Social Science" (SPSS). Dapatan kajian menunjukkan kategori program (min 3.84, SL=0.79) berada pada tahap memuaskan. Kategori yang kedua adalah kategori kandungan pelajaran (min 3.74, SL=0.83), diikuti ketiga ialah kategori pengajaran dan pembelajaran (min 3.68, SL=0.89), keempat ialah kategori kepuasan pelajar (min 3.75, SL=0.84). Keseluruhannya tahap penilaian kurikulum program SPF dan SPC di UTM berada pada tahap memuaskan. Dapatan kajian menunjukkan terdapat juga beberapa aspek yang kurang memuaskan dan perlu di tangani. Di samping itu, dikemukakan juga cadangan kajian untuk memperbaiki perkhidmatan dan meningkatkan lagi kepuasan pelajar terhadap program yang diambil.
|