Summary: | Kajian ini bertujuan untuk melihat gaya kepimpinan guru besar yang diamalkan dan digemari oleh para guru yang boleh melahirkan kepuasan kerja guru-guru di Daerah Besut, Terengganu. Lima buah sekolah rendah telah dipilih untuk dijadikan lokasi kajian yang melibatkan 150 orang guru sebagai responden. Instrumen yang digunakan dalam kajian ini adalah soal selidik manakala data yang diperolehi dianalisis menggunakan perisian SPSS versi 12. Fokus kajian adalah kepada gaya kepimpinan guru besar yang membawa kepada kepuasan kerja guru-guru mereka. Hitungan min digunakan untuk menguji perbezaan pandangan di kalangan guru baru dan guru berpengalaman terhadap gaya kepimpinan guru besar. Manakala korelasi digunakan untuk menguji perkaitan antara gaya kepimpinan guru besar dengan kepuasan kerja di kalangan guru. Dapatan kajian menunjukkan guru besar daerah Besut mengamalkan empat gaya kepimpinan iaitu demokratik, autokratik, instrumental dan berorientasikan kejayaan. Di antara gaya kepimpinan tersebut, gaya kepimpinan instrumental paling dominan diamalkan oleh pemimpin sekolah begitu juga guru-guru lebih puas bekerja dibawah kepimpinan yang mengamalkan gaya kepimpinan instrumental. Dapatan kajian ini juga menunjukkan terdapatnya hubungan antara gaya kepimpinan guru besar dengan kepuasan kerja guru. Akhirnya setelah memperolehi keputusan kajian, beberapa cadangan telah dikemukakan supaya kajian ini dapat dimanafaatkan sepenuhnya oleh semua pihak.
|