Summary: | Dalam pembelajaran bahasa asing, menulis adalah satu alat penting kerana ia bertujuan untuk memperoleh maklumat dan kemahiran yang baharu. Bagi menghasilkan sebuah penulisan yang bermaklumat dan berkesinambungan adalah amat perlu seorang pelajar mengetahui hubungan atau interaksi di antara klausa berdasarkan informasi yang terkandung di dalam Tema dan Rema di dalam teks. Kebanyakan kajian penulisan bahasa Sepanyol sebagai bahasa asing tertumpu kepada kajian linguistik, pembelajaran dan pengajaran dan eksperimental benar. Namun, kajian linguistik yang memfokuskan aliran tematik penulisan bahasa Sepanyol sebagai bahasa asing masih belum memadai. Maka, makalah ini meneroka bagaimana pelajar tersebut memanfaatkan aliran tematik bagi merealisasikan aliran idea penulisan karangan ekspositori. Kajian ini menggunakan 20 buah teks karangan ekspositori yang dihasilkan oleh 20 orang pelajar tahap lanjutan subjek bahasa Sepanyol di Pusat Bahasa, Universiti Utara Malaysia. Pergerakan aliran maklumat dalam setiap perenggan dianalisis dengan menggunakan aliran tematik McCabe (1999) dan Fries (1983) yang berpandangan karangan ekspositori berkolerasi dengan aliran Tema Linear. Dari hasil kajian memaparkan bahawa pelajar lebih gemar dan amat ketara mengamalkan aliran Tema Rencam iaitu sebanyak 76% berbanding aliran Tema yang lain iaitu aliran Tema Linear dan Tema Kekal (8%), aliran Tema Berlainan (6%) dan aliran Rema Ulangan (3%). Aliran Pemisahan Tema dan aliran Pemisahan Rema pula tidak dipraktikkan langsung oleh mereka. Pengenalpastian dan penjelasan pemanfaatan aliran tematik pelajar ini berpotensi merungkai kekuatan dan kekurangan yang wujud dalam karangan yang dihasilkan oleh pelajar yang mempelajari bahasa asing. Oleh yang demikian, tindakan atau teknik boleh dilaksanakan oleh pengajar bagi memastikan mutu penulisan karangan pelajar adalah berkesinambungan dan bermaklumat.
|