520 |
|
|
|a Dalam bahasa Melayu, terdapat dua fenomena fonologi yang melibatkan segmen vokal, iaitu proses pemanjangan dan proses penyisipan vokal. Proses pemanjangan vokal tidak begitu dihiraukan atau kurang diberikan perhatian untuk dibincangkan secara lebih mendalam. Justeru, dalam penulisan ini, data dialek Hulu Sik Kedah (DHSK) akan diajukan bagi melihat fenomena pemanjangan vokal yang berlaku dalam dialek ini. Fenomena pemanjangan vokal ini berlaku akibat daripada proses pengguguran, pembundaran dan peninggian vokal. Kerangka teori linguistik yang digunakan dalam kajian ini ialah teori fonologi generatif model non-linear atau dikenali juga sebagai teori fonologi autosegmental yang diperkenalkan oleh Goldsmith pada tahun 1976. Hasil analisis yang telah dilakukan menunjukkan DHSK ini ternyata tidak membenarkan kehadiran dua vokal secara berurutan. Sekiranya, terdapat dua vokal hadir secara berurutan, maka kekangan dalam perkataan itu akan berlaku iaitu vokal pertama akan mengalami pengguguran dan vokal yang kedua pula mengalami pembundaran. Kesan daripada proses pembundaran dan peninggian ini, vokal akan mengalami pemanjangan kerana vokal pada segmen melodi menghubungkan garisan pada segmen skeletal atau gatra V yang kosong pada tingkat skeletal. Secara keseluruhannya, ternyata teori fonologi autosegmental model skeletal KV ini mampu menangani ataupun menghuraikan fenomena pemanjangan yang berlaku dalam DHSK secara berpada.
|