520 |
|
|
|a Pembangunan dan kemajuan teknologi mengubah cara manusia berkomunikasi dan berinteraksi. Daripada komunikasi bersemuka, bentuk komunikasi berubah kepada komunikasi berperantara terutama dengan pembangunan teknologi media baharu. Komunikasi dan interaksi sosial tidak lagi terbatas kepada komunikasi berasaskan teks, tetapi ia boleh menjadi lebih menyeronokkan dan "real" dengan kemajuan teknologi realiti maya dan teknologi animasi sehingga ia digunakan untuk membentuk dunia maya. Kini, semakin ramai yang memasuki dunia ini sehingga ia membentuk jaringan sosial dalam talian. Kanak-kanak merupakan pengguna utama dengan 37 peratus melawat dunia ini secara tetap dan akan meningkat kepada 54 peratus menjelang tahun 2013 (www.emarketer-intelligence.com). Laman dunia maya bukan hanya menyediakan ciri-ciri jaringan sosial, ia juga menyediakan dunia di mana orang ramai boleh bertemu dan bermain menggunakan avatar sebagai representasi diri pengguna. Lazimnya avatar digunakan sebagai foto dalam ruang profil kebanyakan dunia maya, tetapi pengguna Kaneva boleh menggunakan foto diri mereka yang sebenar di ruangan 2D atau profilnya. Komunikasi di mana-mana dunia maya juga tidak hanya melibatkan teks semata-mata kerana pengguna boleh menggunakan isyarat pergerakan dan ekspresi diri pada menu yang disediakan dalam kebanyakan laman dunia maya terhadap avatarnya. Tinjauan yang dilakukan menunjukkan dunia maya seperti Second Life, Online Gaia, Habbo, Kaneva menawarkan keseronokan kepada penggunanya kerana mereka boleh melakukan apa-apa sahaja sama seperti di dunia luar talian, tanpa batasan masa dan geografi.
|