Summary: | Sehingga penghujung 2010, bank-bank yang menawarkan produk pembiayaan perumahan secara Islam di Malaysia telah mempelbagaikan penggunaan kontrak muamalat dalam menawarkan produk pembiayaan perumahan mereka. Kontrak-Kontrak yang digunakan termasuk Bay' Bithaman Ajil (BBA), Murabahah, Musharakah Mutanaqisah dan Istisna'. Lebih 10 bank masih mengekalkan penggunaan kontrak BBA manakala yang lain telah mula memberi tumpuan kepada penggunaan kontrak pembiayaan berasaskan ekuiti seperti Musharakah Mutanaqisah. Penjualan rumah di Malaysia dilakukan dalam keadaan rumah tersebut masih belum dibina atau masih dalam pembinaan. Oleh itu, penawaran produk pembiayaan perumahan Islam memerlukan kontrak yang sesuai bagi memastikan wujudnya unsur adil dan ihsan sejajar dengan syariat Islam. Pemilihan kontrak yang tepat juga boleh mengelakkan stigma bahawa perbankan Islam bersifat zalim dalam kes-kes rumah terbengkalai. Justeru artikel ini cuba melihat pendekatan penyelesaian yang dilaksanakan oleh produk-produk secara Islam seperti Bay' Bithaman Ajil (BBA), Murabahah, Musharakah Mutanaqisah dan Istisna'. Penelitian dalam kajian ini melibatkan tiga kaedah utama iaitu induktif, deduktif dan komparatif. Hasil penelitian menunjukkan pemilihan kontrak yang tepat dapat menyelamatkan pelanggan dari menanggung beban dalam kes-kes rumah terbengkalai.
|