Summary: | Al-Quran adalah wahyu dari Allah SWT dan Hadis adalah apa yang datang dari Rasulullah SAW. Orang yang paling faham mengenai al-Quran dan Hadis adalah para sahabat RA. Ucapan sahabat disebut sebagai hadis mawquf atau athar. Para ulama mentafsirkan al-Quran antara lain berpandukan kepada Hadis termasuk hadis mawquf. Kajian ini bertujuan menjelaskan metodologi penggunaan hadis mawquf oleh Muhammad Sacid bin cUmar dalam kitab Tafsir Nur al-Ihsan, memastikan status hadis yang digunakan dan mengemukakan pandangan ulama mengenainya. Untuk tujuan ini, satu kajian kepustakaan terhadap sekumpulan hadis mawquf yang berkaitan dilakukan dengan mengaplikasikan ilmu al-Takhrij. Penentuan terhadap status hadis mawquf tersebut adalah berdasarkan pandangan para mufassirin dan ahli hadis yang diperolehi dari kitab-kitab tafsir al-Quran dan kitab syarah hadis yang muktabar. Hasil kajian mendapati bahawa hadis mawquf merupakan satu sumber yang penting dan banyak digunakan dalam tafsir untuk memahami maksud ayat al-Quran. Namun begitu status hadis mawquf perlu dipastikan terlebih dahulu kerana ia sangat penting bagi memastikan kefahaman terhadap Islam tidak bercampur dengan unsur lain seperti israiliyyat. Kajian ini seterusnya menunjukkan sanad dan perawi sesuatu hadis itu sangat penting bagi memastikan kesahihannya. Kajian ini telah mengenal pasti sejumlah sembilan hadis mawquf sahih, enam hadis mawquf hasan, 19 hadis mawquf dacif, tujuh hadis mawquf mawduc dan lapan hadis mawquf yang belum dapat dipastikan statusnya; suatu penemuan yang dapat memudahkan pemanfaatan maksimum kitab ini. Penjelasan ini menunjukkan kepentingan kesahihan hadis dalam memastikan ajaran al-Quran dan al-Hadis terus kekal tulen sebagaimana disampaikan oleh Rasulullah SAW.
|