Summary: | Murid bermasalah pendengaran perlu mendapat pendidikan sebagaimana kanak-kanak tipikal yang lain bagi membolehkan mereka memahami agama Islam dan tuntutan agama dan melaksanakannya dengan betul. Kajian ini bertujuan untuk meneroka dan menganalisis pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Islam kepada murid pendidikan khas di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (Bermasalah Pendengaran). Model kerangka konseptual yang digunakan dalam kajian ini adalah modifikasi model pengajaran dan pembelajaran oleh Imam al-Ghazali dan Ibn Khaldun serta model pengajaran berkesan. Seramai empat orang guru Pendidikan Islam dari empat buah Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas masalah pendengaran dipilih sebagai peserta dalam kajian ini. Kajian kualitatif ini menggunakan reka bentuk kajian kes bagi memperoleh data kajian melalui temu bual, pemerhatian pengajaran dan analisis dokumen. Data temu bual, pemerhatian pengajaran dan analisis dokumen dikumpul dan diurus menggunakan perisisan Nvivo7. Kesahan data dilakukan secara memeriksa kesan penyelidik, triangulasi pelbagai sumber data, bertaklimat dengan rakan sejawat dan pengesahan daripada peserta kajian. Kebolehpercayaan data pula diperoleh melalui audit trail dan mendapatkan perakuan pakar berasaskan nilai persetujuan pekali Cohen Kappa. Secara keseluruhannya, dapatan menunjukkan peserta kajian mempunyai latar belakang sebagai seorang guru Pendidikan Islam untuk pelajar tipikal, tetapi mereka menghadapi masalah dalam aspek pedagogi, pengetahuan dan kemahiran berkaitan keperluan kanak-kanak bermasalah pendengaran. Dapatan juga menunjukkan peserta kajian merancang pengajaran menggunakan sukatan pelajaran Pendidikan Islam Kebangsaan, tetapi berbeza dalam pelaksanaan yang berkaitan dengan pengubahsuaian dalam pengajaran. Kajian ini menunjukkan penambah baikan perlu dilakukan dalam aspek persekitaran tempat pengajaran, kedudukan susunan perabot, susunan murid dan kemudahan akustik. Dapatan kajian ini diharap dapat dijadikan panduan untuk meningkat pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Islam serta menambah baik program latihan guru untuk guru pendidikan Islam bagi murid-murid bermasalah pendengaran.
|