Summary: | Industri perikanan telah memberi kesan kepada pendapatan isi rumah dan pola interaksi sosial di kawasan pesisir pantai Kota Makassar. Makalah ini mempunyai dua tujuan, pertama untuk membincangkan pembangunan industri perikanan makro dan kaitannya dengan isu kemunduran dalam kalangan masyarakat nelayan di pesisir Kota Makassar, Indonesia; kedua, memeriksa faktor ekonomi yang mempengaruhi proses pembuatan keputusan dalam kalangan pengeluar, khususnya tentang pasaran eksport ikan dan kesannya ke atas pendapatan nelayan skala kecil. Kedua-dua data primer dan sekunder yang digunakan dalam kajian ini diperolehi melalui kajian luar yang dilakukan di Kota Makassar. Analisis kajian ini mendapati bahawa struktur sosial yang terbentuk dalam kalangan nelayan dan para pengusaha industri perikanan di Kota Makassar telah meletakkan nelayan skala kecil di kedudukan paling rendah dalam proses pengeluaran perikanan. Sedangkan, orang tengah yang mempunyai akses dan kuasa ke atas saluran pemasaran dianggap sebagai patron bagi industri perikanan di sini dan lazimnya menduduki status sosial yang tinggi. Tambahan pula, globalisasi telah meninggalkan impak dan melebarkan jurang lagi ketaksamaan sosial dan ekonomi industri tersebut. Hal ini menunjukkan bahawa pembangunan industri perikanan di keseluruhan masyarakat nelayan di Kota Makassar masih dalam keadaan terencat.
|