Summary: | Aplikasi ruang siber melalui penggunaan media alternatif seperti blog, laman web, forum siber, you tube, email, face book, dan twitter telah memperluas ruang bersuara sekaligus meningkatkan partisipasi politik, mobilisasi sosial dan demokrasi. Sebelum ini, selain ceramah, rakyat banyak mendapat maklumat politik melalui media cetak seperti akhbar, majalah dan buku; dan media elektronik khususnya radio dan televisyen. Namun kini, penggunaan internet sebagai cara untuk mencari maklumat menjadi semakin penting. Internet berperanan sebagai ruang siber yang demokratik dan bebas. Sehubungan itu, artikel ini bertujuan untuk menganalisis akses dan penggunaan internet serta kesannya ke atas partisipasi politik dalam kalangan penduduk di negeri Johor. Berdasarkan kaji selidik yang melibatkan seramai 3,021 responden (1,502 orang di Kawasan Parlimen Muar dan 1,519 orang di Kawasan Parlimen Kluang) dan pemerhatian di lapangan, kajian ini mendapati bahawa akses dan penggunan internet di kawasan tersebut agak menggalakkan dengan 54.0 peratus di Kluang dan 33.7 peratus di Muar. Responden mengakses dan menggunakan internet untuk mendapat maklumat politik. Walau bagaimanapun, pencarian maklumat politik berbeza mengikut latar belakang pendidikan, peringkat umur, etnik, jantina, pendapatan dan pekerjaan. Dalam 'politik baru' hari ini, isu korupsi, penyelewengan dan salahguna kuasa diberi tumpuan dan laungan media alternatif tersebut. Rakyat terutamanya golongan muda yang celik IT tidak lagi terpengaruh dengan isu 'politik lama' seperti etnik, bahasa, agama dan kedaerahan. Akses dan penggunaan internet terbukti telah mempengaruhi sokongan pengundi muda, terutamanya di kawasan bandar serta memberi impak yang signifikan terhadap keputusan pilihan raya umum 2008. Kini internet menjadi salah satu sumber maklumat penting di Malaysia. Media baru ini dijangka bakal mempengaruhi pola pengundian dalam pilihan raya umum di negeri Johor pada masa akan datang.
|