Summary: | Kursus bahasa Arab di Universiti Teknologi MARA (UiTM) merupakan satu subjek elektif kepada pelajar peringkat ijazah sarjana muda. Kajian ini bertujuan mengkaji (1) tahap penggunaan bahasa Arab lisan dalam kalangan pelajar UiTM, (2) hubungan korelasi antara penggunaan bahasa Arab lisan dengan strategi pengurusan sumber yang terdiri daripada empat subkomponen iaitu strategi pengurusan masa dan pembelajaran, strategi pengurusan usaha, strategi belajar bersama-sama rakan serta strategi mencari bantuan, dan (3) perbezaan penggunaan strategi pengurusan sumber dalam kalangan pelajar yang mempunyai tahap penggunaan bahasa yang berbeza. Kajian ini berbentuk kajian campuran antara kuantitatif dan kualitatif yang menggunakan satu instrumen soal selidik pembelajaran kendiri (self-regulated learning) dan temu bual pelajar. Data kuantitatif melibatkan seramai 455 orang sampel yang dipilih berdasarkan teknik persampelan rawak berstrata (stratified random sampling). Dapatan kajian menunjukkan bahawa (1) tahap penggunaan bahasa Arab lisan dalam kalangan pelajar adalah sederhana, malah penggunaan bahasa di luar kelas adalah lebih sederhana berbanding di dalam kelas, (2) terdapat hubungan korelasi yang signifikan antara tahap penggunaan bahasa Arab lisan dengan penggunaan strategi belajar bersama-sama rakan serta strategi pengurusan masa dan pembelajaran, serta (3) terdapat perbezaan yang signifikan dalam penggunaan strategi belajar bersama-sama rakan dalam kalangan pelajar yang berbeza tahap penggunaan bahasa Arab lisan. Kajian ini mencadangkan agar tahap pengunaan strategi belajar bersama-sama rakan serta strategi pengurusan masa dan pembelajaran dapat dipertingkatkan supaya tahap penggunaan bahasa dalam kalangan pelajar juga meningkat. Antara lainnya, ia dapat dilakukan melalui aktiviti berkumpulan secara kolaboratif dan juga penggunaan pembantu pembelajaran dalam kalangan pelajar
|