Summary: | Pencemaran makanan sentiasa dilaporkan berlaku dalam masyarakat. Biasanya, kes ini timbul adalah disebabkan pengabaian terhadap prinsip halalan tayyiban dalam amalan pengendalian makanan dari ladang ke meja pengguna. Antara bentuk pengabaian ini termasuklah melibatkan proses awal, iaitu pemilihan bahan mentah dari sumber yang tidak halal dan tayyib. Implikasinya akan berlaku pencemaran dalam rantaian pengendalian makanan. Pencemaran aspek halal akan menjerumuskan pengguna kepada larangan syarak dan memberi kesan terhadap aspek spiritual pengguna, sedangkan pencemaran aspek tayyib memberikan kesan terhadap kesihatan fizikal dan keselamatan nyawa pengguna. Sehubungan itu, kajian ini akan membincangkan tentang kefahaman para pengendali makanan khususnya berkaitan amalan pengendalian makanan halalan tayyiban. Bagi mencapai objektif tersebut, kajian ini telah menggunakan pendekatan kualitatif melalui metode temu bual tidak berstruktur. Sebanyak 11 informan yang terdiri daripada pengendali makanan sekitarLembah Klang telah ditemu bual. Data yang dikumpulkan telah dianalisis melalui perisian Atlas.ti versi 8 bagi membina tema, kategori dan subkategori. Dapatan kajian menunjukkan bahawa, secara teoritikalnya, semua informan mempunyai kefahaman yang jelas berkaitan dengan makanan halalan tayyiban dan ciri-ciri pengendalian makanan halalan tayyiban. Namun, dari aspek praktikal dan pengamalannya, mereka masih kurang mengamalkan pengendalian makanan berdasarkan prinsip halalan tayyiban sepenuhnya sehingga berpotensi menyebabkan berlakunya pencemaran dan keracunan makanan.
|