Summary: | Maklumat kemahiran kognitif murid boleh membantu para guru mengenalpasti kekuatan atau potensi yang ada pada murid bagi merancang strategi pembelajaran. Maklumat ini dikumpul melalui Ujian Aptitud Sekolah Rendah tahun enam (UASR), dimana potensi murid dapat dikesan lima tahun lebih awal sebelum mereka menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Malangnya, maklumat yang ada ini tidak dijadikan sebagai salah satu kriteria dalam pelan pembangunan pelajar. Oleh itu, kajian ini dibuat untuk melihat kekuatan hubungan faktor potensi pelajar dalam UASR dengan kejayaan SPM mereka. Melalui visualisasi data, hubungan kuat antara murid berpotensi tinggi dengan kejayaanya dalam SPM boleh dilihat. Sebanyak 71.48% murid bagi kohort pertama yang telah diuji berpotensi tinggi semasa tahun enam pada tahun 2011 serta 73.63% kohort berikutnya pada tahun 2012, telah memperolehi keputusan SPM yang lebih berjaya semasa mendudukinya pada tahun 2016 dan 2017 masing-masing. Analisis lanjut dengan teknik pokok keputusan menunjukkan beberapa faktor lain yang mempengaruhi tahap kejayaan murid dalam SPM, antaranya ialah tahap pencapaian semasa menduduki PT3, gred dalam mata pelajaran Matematik dan Sains, aliran akademik dan faktor tahap pencapaian aliran di sekolah pada tahun sebelumnya.
|