Summary: | Persaingan kerja yang tinggi pada masa kini menjadikan pekerja perlu memberikan perkhidmatan yang cemerlang dan perlu mengamalkan tingkah laku kewargaan organisasi. Oleh itu, objektif kajian ini dijalankan adalah untuk mengkaji hubungan di antara kepimpinan transformasi, komitmen organisasi dan tingkah laku kewargaan organisasi; menguji pengaruh kepimpinan transformasi terhadap komitmen organisasi; menguji pengaruh kepimpinan transformasi terhadap tingkah laku kewargaan organisasi; menguji pengaruh komitmen organsisasi terhadap tingkah laku kewargaan organisasi; dan mengkaji peranan komitmen organisasi sebagai pengantara dalam hubungan di antara kepimpinan transformasi dan tingkah laku kewargaan organisasi. Kajian ini menggunakan reka bentuk survei dengan pengumpulan data menggunakan soal selidik. Seramai 143 responden di Kementerian Kewangan Malaysia telah dipilih menggunakan kaedah persampelan mudah. Multifactor Leadership Questionnaire digunakan bagi mengukur persepsi amalan kepimpinan transformasi, Affective, Normative, and Continuance Commitment Scale untuk mengukur komitmen organisasi dan Organizational Citizenship Behavior Scale untuk mengukur tingkah laku kewargaan organisasi. Data yang dikumpul telah dianalisis menggunakan analisis korelasi Pearson dan regresi linear. Keputusan menunjukkan terdapat hubungan signifikan di antara kepimpinan transformasi, komitmen organisasi dan tingkah laku kewargaan organisasi. Kepimpinan transformasi didapati meramal secara signifikan kepada komitmen organisasi dan tingkah laku kewargaan organisasi. Dapatan juga menunjukkan komitmen organisasi berperanan sebagai pengantara dalam hubungan di antara kepimpinan transformasi dan tingkah laku kewargaan organisasi. Dapatan kajian ini menekankan pentingnya peranan kepimpinan transformasi dalam kalangan pemimpin dan komitmen organisasi dalam meningkatkan tingkah laku kewargaan organisasi. Apabila ini dapat dicapai, individu pekerja akan memberikan sumbangan yang terbaik kepada organisasi dan seterusnya menjamin keberkesanan organisasi.
|