Summary: | Makalah ini membincangkan tentang dinamika integrasi politik melalui kerjasama politik yang menjadi teras kepada tapak integrasi dalam kalangan masyarakat multi-etnik di Malaysia. Umumnya integrasi politik adalah suatu proses kerjasama politik di dalam dan antara etnik yang menjadi pemangkin kepada kerjasama dalam masyarakat yang berbilang etnik, agama, budaya, fahaman politik dan ideologi. Melalui pendekatan tersebut, jurang perbezaan yang wujud dalam kepelbagaian masyarakat bukan sahaja dapat dikurangkan malah menjadi suatu titik tolak kepada hubungan rentas etnik yang lebih luas menerusi pelbagai dimensi. Senario politik Malaysia sejak di ambang kemerdekaan sehingga kini masih mengekalkan pendekatan integrasi politik dalam meraikan kepelbagaian, menerima dan mengiktiraf perbezaan yang wujud dalam masyarakat. Lahirnya integrasi politik melalui Perikatan, Barisan Nasional, Angkatan Perpaduan Ummah, Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat, Pakatan Harapan, Muafakat Nasional dan terkini Perikatan Nasional adalah sebagai manifestasi berteraskan kepada pendekatan kerjasama politik. Dinamika integrasi politik menjadi teras kepada tapak integrasi masyarakat multi-etnik Malaysia yang dapat mengekalkan keharmonian dalam kehidupan masyarakat. Masyarakat yang dibezakan dengan latar belakang etnik, keturunan, agama dan budaya mampu menjalani kehidupan dengan aman dan sejahtera selagi mana kestabilan politik negara dapat dipertahankan.
|