Summary: | Simile salah satu gaya bahasa figuratif berkaitan perumpamaan yang secara jelas mengungkapkan perbandingan atau persamaan antara sesuatu. Melalui simile sesuatu perkara dapat difahami dan dihayati terutama perbincangan berkaitan dengan ashrat al-sa'ah. Namun begitu, terdapat segelintir pembaca dan ahli masyarakat yang berlebihan atau tersasar ketika menghuraikan perumpamaan sehingga menyebabkan tidak menepati maksud sebenar perumpamaan tersebut. Oleh yang demikian perbincangan tentang gaya bahasa simile terhadap hadis ashrat al-sa'ah sangat penting kerana hubungannya dengan perkara yang ghaibiyyat. Kajian ini bertujuan untuk mengkaji unsur simile dalam hadis ashrat al-sa'ah dan menganalisis keindahan gaya bahasa simile dalam hadis-hadis tersebut. Penyelidikan ini menggunakan metode kualitatif dengan menjadikan analisis kandungan sebagai reka bentuk kajian. Kandungan yang dipilih ialah hadis ashrat al-sa'ah yang bertaraf sahih. Sebanyak enam hadis ashrat al-sa'ah telah dipilih sebagai data kajian ini. Hadis-hadis yang dipilih akan diterjemahkan kepada bahasa Melayu menggunakan teori Semantik-Komunikatif. Hasil kajian ini menunjukkan kehadiran simile dalam ungkapan bertujuan untuk meringkaskan ayat, mengelakkan kekeliruan dan menegaskan maksud. Hasil kajian juga menunjukkan kata bandingan yang paling banyak digunakan dalam hadis ashrat al-sa'ah ialah kaf diikuti oleh kama. Manakala gaya bahasa simile digunakan untuk membandingkan dua jari, penyakit yang menimpa kambing, kepingan malam yang gelap-gelita, ombak di lautan, tersasarnya anak panah daripada haiwan buruan, tembolok burung merpati. Kesemua gaya bahasa simile ini menceminkan jawami' al-kalim Rasulullah SAW melalui perbandingan yang sesuai dengan masyarakat sekali gus memastikan hadis tersebut dapat difahami dan dihayati dalam kehidupan manusia.
|