Summary: | Matan Shatibi adalah satu himpunan bait-bait syair yang menerangkan ilmu Qira'at secara lengkap. Oleh kerana ketinggian ilmu penyusunnya iaitu Imam al-Shatibi serta nilai ilmu yang terdapat di dalam matan tersebut maka, ia diterima baik oleh sarjana Islam dan seluruh pencinta ilmu Qiraat. Bagi mengembangkan lagi ilmu tersebut dalam kalangan penuntut ilmu, maka para sarjana Islam telah menerangkan maksud bait-bait tersebut dengan pelbagai versi, teknik, kaedah dan pendekatan berdasarkan keilmuan masing-masing. Di antara syarah Matan Shatibi yang mendapat perhatian ramai pengkaji ialah kitab Ibraz al-Maani karya Imam Abu Shamah al-Maqdisi. Justeru, artikel ini adalah tinjauan terhadap salah satu metodologi Imam Abu Shamah yang dirintis beliau dalam menjelaskan maksud Imam al-Shatibi iaitu istidrakat terhadap lafaz-lafaz Matan Shatibi. Ia bertujuan melihat kaedah dan teknik yang digunakan beliau ketika melakukan istidrakat tersebut di samping solusi yang dicadangkan oleh beliau dalam setiap istidrakat yang dilakukan. Oleh itu, semua istidrakat dikumpul dan dianalisis mengikut kategori dan tujuan istidrakat. Kajian ini mendapati Imam Abu Shamah melakukan istidrakat terhadap matan Shatibi dalam jumlah yang banyak meliputi semua bab. Bahkan beliau sangat menitikberatkan nilai ilmiah dan etika yang tinggi ketika melakukan istidrakat tersebut.
|