Summary: | Artikel ini membincangkan isu berkenaan hubungan dua hala antara Tanah Melayu dengan Siam berdasarkan bukti arkeologi maritim sejak abad ke-14 Masihi. Kajian arkeologi bawah air oleh Sten Sjostrand (1998-2002) dan terkini oleh penulis sendiri (2015-2016) jelas membuktikan wujud hubungan dua hala dari aspek perdagangan di antara kedua-dua buah negara melalui medium laluan maritim. Kajian arkeologi menyelamat atau "Salvage Archaeology" serta ekskavasi arkeologi bawah air telah berjaya menemukan pelbagai bukti berhubung dengan isu ini. Beberapa tapak kapal karam yang telah diterokai seperti Singtai Wreck, Turiang Wreck, Royal Nanhai Wreck dan terkini Bidong Wreck berjaya membuktikan hubungan dua hala antara Tanah Melayu dan Siam sejak abad ke-14 Masihi melalui artifak perdagangan seperti seramik Sawankhalok, Sukhothai yang banyak ditemui di kesemua tapak kapal karam tersebut. Kajian terkini di beberapa tapak produksi artifak ini baru-baru ini telah menguatkan lagi bukti tersebut. Di Sukhothai, Sawankhalok, Si-Satchanalai dan Menam Noi merupakan tempat pengeluar utama artifak seramik Siam sejak abad ke-14 Masihi lagi dan kebanyakan artifak tersebut dieksport ke merata tempat. Dengan adanya kajian arkeologi maritim sebelum ini dan terkini oleh penulis, dapat menambahkan lagi bukti kukuh selain daripada bukti sumber bertulis yang menyatakan wujudnya hubungan dua hala antara Tanah Melayu dengan Siam.
|