Summary: | Pengajaran dan pembelajaran al-Quran di Malaysia adalah seiring dengan kedatangan dan perkembangan Islam. Sejarah mencatatkan bahawa Islam mula bertapak di Tanah Melayu pada tahun 903 Masehi di Kedah, 1181 Masihi di Kelantan, 1302 Masihi di Terengganu dan 1414 Masihi di Melaka. Dalam perkembangan ini, kaedah pengajaran al-Quran adalah berasaskan kepada kaedah tertua yang diperkenalkan oleh Jibril a.s kepada Rasulullah SAW ketika mula-mula menyampaikan wahyu pertama iaitu secara talaqqi dan musyafahah. Seiring perkembangan dan keperluan semasa, pendekatan yang digunakan untuk mengajar al-Quran juga turut berubah sebagai bukti bahawa kaedah pengajaran kitab suci ini tidak ketinggalan dari kaedah arus perdana. Oleh itu, makalah ini bertujuan menghuraikan perkembangan pengajaran dan pembelajaran al-Quran di Malaysia bermula sejak kedatangan Islam ke Tanah Melayu hingga kini. Kajian difokuskan kepada kaedah tradisi dan kaedah kontemporari dalam pengajaran dan pembelajaran al-Quran. Dalam kajian ini, Kelas al-Quran Dewasa yang dijalankan di masjid UniSZA dijadikan sampel kajian. Data dikumpul secara kualitatif melalui analisis dokumen dan temu bual. Temu bual yang dimaksudkan adalah temubual informan terpilih yang terdiri daripada pengasas dan tenaga pengajar yang mengendalikan kelas-kelas pengajaran dan pembelajaran al-Quran sama ada secara tradisi mahupun kontemporari. Lima kaedah tradisi dan kontemporari dipilih sebagai sampel kajian ini. Kajian mendapati bahawa legasi kaedah pengajaran tertua secara talaqqi dan musyafahah ini diteruskan sehingga ke hari ini, namun dalam acuan yang berbeza. Setiap pendekatan yang diperkenal dan diamalkan adalah dengan tujuan yang sama iaitu melatih kemahiran dan kebolehan membaca al-Quran dengan cara mudah dan pantas tetapi masih meraikan hukum-hukum tajwid sebagaimana yang diajar oleh Baginda Rasulullah SAW.
|