Summary: | Kajian ini bertujuan melihat penggunaan 'kata ciptaan' oleh remaja yang berkomunikasi menggunakan penulisan teks di internet dalam kecenderungan personaliti neurotisme. Kajian ini menganalisis kiriman dua blog remaja yang aktif menulis kiriman blog sepanjang tahun 2012 sahaja. Kedua-dua remaja ini disaring daripada 20 remaja lain yang dipilih secara rawak oleh penyelidik. Analisis kajian ini dilakukan secara kualitatif dengan mengaplikasikan Teori Big Five Personality oleh McCrae dan Costa (1997). Dalam teori ini, selain Neuroticisme, terdapat empat lagi kecenderungan personaliti, iaitu extraversion, aggreeableness, openess, dan conscientiousness. Hasil kajian ini mendapati wujudnya kata-kata ciptaan yang digunakan dalam teks kiriman blog oleh kedua-dua remaja ini. Penggunaan kata ciptaan dalam kiriman teks dalam blog ini berlaku disebabkan oleh pengaruh emosi terhadap remaja ketika berkomunikasi dalam blog. Kepelbagaian emosi ini menyebabkan remaja berkomunikasi tanpa kekangan dengan komuniti remaja kelompok yang sama sahaja. Teks yang terhasil itu difahami oleh golongan remaja sahaja dan pemilihan perkataan juga berlainan daripada makna yang sebenarnya. Penggunaan perkataan yang terhasil itu menyebabkan personaliti remaja turut terpengaruh sama ada daripada sifat positif dan sifat negatif. Kata-kata ciptaan yang terhasil lazimnya berlaku dalam komunikasi di rangkaian sosial terutamanya blog. Kata-kata ciptaan ini berkembang dan digunakan oleh remaja lainnya yang berkomunikasi bersama atau membaca kiriman blog yang dihantar. Akibatnya, kata ciptaan yang digunakan secara meluas dan menyebabkan perkataan berkenaan berlainan daripada makna asalnya. Hasil kajian ini menunjukkan implikasi dalam mengenal personaliti melalui kewujudan kata ciptaan dalam penulisan teks di rangkaian sosial internet sahaja yang berlainan makna dari kata asalnya. Kajian ini juga dapat memberikan gambaran personaliti remaja di internet berbanding antara muka.
|