Summary: | Keberkesanan rawatan air sisa industri automotif ditentukan dengan menggunakan kaedah penjerapan turus. Peratusan penyingkiran ammonia dan logam berat terpilih telah dikaji menggunakan pasir biasa dan pasir terubah suai secara kimia sebagai bahan penjerap. Dua model matematik iaitu Model Thomas serta Model Yoon-Nelson telah digunakan untuk menentukan kapasiti penjerapan maksimum ammonia. Peratusan penyingkiran ammonia menunjukkan pasir terubah suai secara kimia mencatatkan julat peratusan penyingkiran yang lebih tinggi iaitu 43.68% hingga 96.55% berbanding pasir biasa yang mencatatkan julat 0% hingga 89.66%. Logam berat zink, mangan, kromium, kuprum, arsenik, nikel, kobalt dan ferum mencatatkan peratusan penyingkiran antara 93% hingga 100% apabila menggunakan pasir terubah suai secara kimia manakala pasir biasa mencatatkan julat peratusan penyingkiran daripada 0.8% hingga 100%. Keputusan analisis menggunakan Model Thomas menunjukkan kapasiti penjerapan maksimum, qo ammonia menggunakan pasir terubah suai secara kimia (8.80 mg/g) adalah empat kali lebih tinggi daripada pasir biasa (2.57 mg/g) manakala masa bolos, t0.5 bahan penjerap yang ditentukan menggunakan Model Yoon dan Nelson mencatatkan masa tertinggi bagi pasir terubah suai secara kimia iaitu 30.18 min berbanding 9.57 min bagi pasir biasa. Kajian ini menunjukkan peratusan penyingkiran dan kapasiti penjerapan ammonia dan logam berat terpilih iaitu zink, mangan, kuprum, arsenik, nikel, kobalt dan ferum lebih tinggi bagi turus pasir terubah suai secara kimia berbanding pasir biasa.
|