Summary: | Fajar Sarawak merupakan surat khabar bahasa Melayu pertama yang diterbitkan di bumi Kenyalang pada tahun 1930 menerusi usaha Muhammad Rakawi bin Yusuf. Dengan objektifnya untuk memberi “perkhabaran am, pengajaran, pengetahuan dan penghiburan” kepada pembaca, akhbar ini lahir dengan bahasa yang sesuai dengan zamannya dalam mengungkapkan hal-hal agama, politik dan sosial. Aspek bahasa akan ditonjolkan dalam penelitian ini bagi mengetengahkan corak bahasa penulis Fajar Sarawak. Justeru, penelitian terhadap Fajar Sarawak akan memfokus kepada bahasa figuratif yang melibatkan unsur-unsur seperti personifikasi, metafora, simile, ironi, dan hiperbola. Kupasan sudut bahasa ini ternyata menyerlahkan kekreatifan dan kebijakan penulis dalam olahan gaya bahasa berkesan bagi menarik minat pembaca, di samping memaparkan gaya kepengarangan mereka.
|